Pada zaman sekarang, manusia berlumba-lumba untuk mencipta benda-benda baru demi memenuhi kehendak dan keperluan semasa. Namun begitu mereka masih lagi mencari arah dalam memenuhi kehendak rohani mereka. Kerap kali mereka akan terjebak dalam gejala buruk seperti dadah, arak, seks bebas, rasuah dan sebagainya. Kebanyakkan daripada mereka merupakan individu yang berpendidikan tinggi. Islam tidak melarang kita mengejar kemewahan dan kesenangan di dunia tetapi janganlah kita sesekali lupa untuk beribadah.
Renungkan petikan ini, “Beribadahlah kamu seolah-olah akan mati pada esok hari dan bekerja seolah-olah akan hidup 1000 tahun”.
Didalam al-Quran turut menyatakan berikut :
“Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)”. (Surah al-Jumuah ayat 10)
"Kami membuatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami menguji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan." (18:7)
"Dia yang mencipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
Telah ternyata dalam Islam, mencari kemewahan atau kesenangan didunia bukanlah perkara yang menyalahi agama tetapi ia seharusnya berlandaskan syariat Islam disamping tidak melupakan untuk melakukan ibadah.
Dalam kitab dikatakan, awaluddin makrifatullah (awal-awal agama ialah mengenal ALLAH). Apabila seseorang itu tidak mengenal ALLAH, segala amal baktinya tidak akan sampai kepada ALLAH SWT. Sedangkan, segala perintah suruhan yang kita buat, baik yang berbentuk fardhu maupun sunat, dan segala perintah larangan yang kita jauhi, baik yang berbentuk haram maupun makruh, merupakan persembahan yang hendak kita berikan kepada ALLAH SWT.
Kalau kita tidak kenal ALLAH SWT, maka segala persembahan itu tidak akan sampai kepada-Nya. Ini berarti, sia-sialah segala amalan yang kita perbuat. Bila seseorang itu sudah kenal ALLAH, barulah apabila dia berpuasa, puasanya sampai kepada ALLAH. Apabila dia sholat, sholatnya sampai kepada ALLAH. Apabila dia berzakat, zakatnya sampai kepada ALLAH. Apabila dia menunaikan haji, hajinya sampai kepada ALLAH SWT. Apabila dia berjuang, berjihad, bersedekah dan berkorban, serta membuat segala amal bakti, semuanya akan sampai kepada ALLAH SWT. Kerana itulah, makrifatullah (mengenal ALLAH) ini amat penting bagi kita. Jika kita tidak kenal ALLAH, kita bimbang segala amal ibadah kita tidak akan sampai kepada-Nya, ia menjadi sia-sia belaka. Boleh jadi kita malah hanya akan tertipu oleh syaitan saja. Kita mengira amalan yang kita perbuat sudah kita persembahkan pada ALLAH, padahal itu adalah jebakan syaitan. Ini karena kita tidak mengenal ALLAH, sehingga kita tidak mampu membedakan ilah (tuhan) yang kita ikuti, apakah itu ALLAH, atau syaitan yang menipu daya.
Sebab itulah mengenal ALLAH itu hukumnya fardhu ‘ain bagi tiap-tiap mukmin. Mengenal ALLAH dapat kita lakukan dengan cara memahami sifat-sifat-Nya. Kita tidak dapat mengenal ALLAH melalui zat-Nya, karena membayangkan zat ALLAH itu adalah suatu perkara yang sudah di luar batas kesanggupan akal kita sebagai makhluk ALLAH. Kita hanya dapat mengenal ALLAH melalui sifat-sifat-Nya. Untuk memahami sifat-sifat ALLAH itu, kita memerlukan dalil aqli dan dalil naqli.
Dalil aqli adalah dalil yang bersumber dari akal (aqli dalam bahasa Arab = akal). Dalil naqli adalah dalil yang bersumber dari Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Melalui dalil aqli dan dalil naqli ini sajalah kita dapat mengenal ALLAH. Tanpa dalil-dalil itu, kita tidak dapat mengetahui sifat-sifat ALLAH, dan kalau kita tidak mengetahui sifat-sifat ALLAH, berarti kita pun tidak mengenal ALLAH.
Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud sukatan. Terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq.
Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku).
Firman Allah Taala bermaksud: Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib. (Surah al-Anaam: ayat 59).
Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).
SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH TAALA
Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam pengetahuan Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud: Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib. (Surah al-Anaam: ayat 59).
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
ANTARA BENTUK KETAATAN
Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah: ayat 186).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Doa merupakan otak kepada ibadat. (Riwayat at-Tarmizi).
SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA
Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah Taala maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan doa.
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah ar-Rad: ayat 11).
KONSEP QADA DAN QADAR
Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah: - Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini. - Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini. - Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah Taala. - Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
PERINGATAN
Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakkan para tok guru kita cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang lebar terutamanya kepada masyarakat awam.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Apabila disebut tentang qadar maka diamlah… (Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).
PENUTUP
Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dengan lebih mendalam dan terperinci.
Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.
BIL : 1 SIFAT WAJIB : WUJUD MAKNA : Ada SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.
BIL : 2 SIFAT WAJIB :QIDAM MAKNA : Sedia SIFAT MUSTAHIL : Allah itu sedia ada. Mustahil didahului oleh Adam (tiada)
BIL : 3 SIFAT WAJIB : BAQA MAKNA : Kekal SIFAT MUSTAHIL : Allah itu bersifat kekal. Mustahil ia dikatakan fana (binasa)
BIL : 4 SIFAT WAJIB : MUKHALAFATUHU LILHAWADIS MAKNA : Tidak sama dengan yang baharu SIFAT MUSTAHIL : Allah itu tidak mempunyai sifat-sifat yang baharu yakni dijadikan dan dihancurkan. Mustahil bersamaan dengan yang baharu.
BIL : 5 SIFAT WAJIB : QIYAMUHUU BINAFSIH MAKNA : Berdiri dengan dirinya sendiri SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu bersendiri. Mustahil tidak berdiri dengan dirinya sendiri atau berdiri pada lainnya.
BIL : 6 SIFAT WAJIB : WAHADAANIYAT MAKNA : Esa SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Maha Esa Dzat-Nya, Esa sifat-Nya dan esa juga perangai-Nya. Mustahil ia mempunyai Dzat, sifat dan perangai yang berbilang-bilang.
BIL : 7 SIFAT WAJIB : QUDRAT MAKNA : Kuasa SIFAT MUSTAHIL : Alah Taala itu Maha Berkuasa. Mustahil Allah itu lemah atau tidak berkuasa.
BIL : 8 SIFAT WAJIB : IRADAT MAKNA : Menentukan SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Menentukan segala-galanya. Mustahil Allah Taala itu terpaksa dan dipaksa.
BIL : 9 SIFAT WAJIB : ILMU MAKNA : Mengetahui SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat mengetahui segala-galanya. Mustahil Allah tidak mengetahui.
BIL : 10 SIFAT WAJIB : HAYAT MAKNA : Hidup SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa hidup yakni sentiasa ada. Mustahil Allah Taala itu tiada atau mati.
BIL : 11 SIFAT WAJIB : SAMA MAKNA : Mendengar SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu tidak tuli (pekak). Mustahil Allah tuli atau tidak mendengar.
BIL : 12 SIFAT WAJIB : BASAR MAKNA : Melihat SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa melihat. Mustahil Allah Taala itu buta.
BIL : 13 SIFAT WAJIB : KALAM MAKNA : Berkata-kata SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil Allah Taala itu tidak bercakap atau bisu.
BIL : 14 SIFAT WAJIB : QOODIRUN MAKNA : Maha Kuasa SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat berkuasa sifatnya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat lemah atau tidak berkuasa.
BIL : 15 SIFAT WAJIB : MURIIDUN MAKNA : Menentukan SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkuasa menentukan apa yang dikehendakinya. Mustahil sifatnya terpaksa atau dipaksa.
BIL : 16 SIFAT WAJIB : AALIMUN MAKNA : Maha Mengetahui SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mengetahui. Mustahil Allah Taala itu jahil atau tidak mengetahui.
BIL : 17 SIFAT WAJIB : HAYUUN MAKNA : Hidup SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu Maha Hidup dan menghidupkan alam ini. Mustahil pula Allah itu mati.
BIL : 18 SIFAT WAJIB : SAMI'UN MAKNA : Mendengar SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mendengar. Mustahil jika Allah Taala tidak mendengar atau tuli.
BIL : 19 SIFAT WAJIB : BASIIRUN MAKNA : Melihat SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu melihat semua kejadian di muka bumi. Mustahil jika sifat Allah itu tidak melihat atau buta.
BIL : 20 SIFAT WAJIB : MUTAKALLIMUN MAKNA : Maha Berkata-kata SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil jika Allah Taala bisu atau tidak boleh berkata-kata.